Wednesday, August 18, 2010

Gembiralah hati…

Hidup umpama roda yang berputar-putar. Hidup ada suka ada gembira. Ada susah ada senang. Kadang diri bersemangat kadang diri diselimuti kealpaan. Kadang berjaya kadang jatuh tersungkur.

Bila hati gembira raut wajah kelihatan ceria. Dihiasi senyuman dan tawa yang tak lekang putus. Emosi menjadi stabil. Ketenangan hinggap disegenap ruang diri. Namun, kegembiraan itulah yang bakal meragut ketenangan dan keceriaan. Pabila diri dikuasai nafsu alpa dan malas.

Aduh, sakitnya hati tika berada dalam kondisi yang gundah gulana. Keresahan dan kesedihan cuba menerjah masuk ke dalam ruang hati. Apatah lagi jika roda kehidupan sedang berputar ke bawah. Segala yang negative mengambil giliran. Kejatuhan dan kegagalan…

Apa yang perlu dilakukan tika ini???

Bila berada dalam kondisi kesedihan telah mengingatkan diriku kata-kata seorang ustaz. Janganlah kamu bersedih. Yakinlah bahawa Allah akan mengembirakan hatimu. Biar sekuat mana penderitaan yang engkau hadapi tapi yakinlah Allah bakal memujukmu kelak.

Aku mendengar teliti bait-bait katanya. Keikhlasan sang ustaz menyampaikan tazkirah menyentuh hati nurani. Benar, keyakinan kepada Allah itu sangat perlu. Sejauh mana diri kita menyerah diri kepada Allah? Redha atas ketentuan Nya? Sedangkan manusia selalu mengeluh jika ditimpa musibah. Tak kiralah secalit mana besarnya masalah yang ditimpa pasti merasakan dirinyalah yang paling malang.

Mengapa harus terjadi? Ya mengapa kegagalan menimpa diri? Mengapa nasib malang mengisi ruang hidup ini? Mengapa kesedihan menjadi teman diri?

Namun, cuba fikir semula. Muhasabah buat seketika. Layakkah diri untuk mengeluh atas ketentuan Nya?

Dalam keadaan hati yang tidak tenang, akhirnya aku diilhamkan sebuah jawapan lagi. Dengan nama Mu ya Rahman ya Rahim, aku membelek Quran. Hatiku tergerak ingin membaca surah Ar-rahman. Mata hatiku tertumpu pada ayat yang berkali-kali diulang dalam surah tersebut.

‘Fabi aiyi alaa i rabbikuma tukazziban’

(Maka nikmat Tuhanmu yang manakah yang kamu dustakan?)

Keinsafan hadir pada diri tapi tidak tahu keabadiannya selama mana. Sememangnya diri tidak layak mempersoalkan mengapa takdir malang menimpa diri. Padahal diriku tidak terjawab akan persoalan Ar-Rahman itu. Ya Allah, entah sebanyak mana sudah nikmat-nikmat Mu yang telah kami dustakan. Entah-entah sudah tidak terhitung lagi. Namun, diri kami masih tidak segan silu mempersoalkan musibah yang Engkau takdirkan kepada kami yang mungkin adalah kifarah bagi nikmat-nikmat Mu yang telah didustakan. Astaghfirullah…astaghfirullah…astaghfirullahalazim…

Maka, yakinlah setiap hati-hati yang sedih, setiap hati-hati yang resah, setiap diri-diri yang diuji bakal menemui penawarnya. Kembalilah berserah kepada Allah. Kerana Dia yang mendatangkan segalanya, dan Dialah juga yang bakal menghiburkan dan menghidupkan semula hati-hati hambanya yang telah lesu dan muram.

MERUNGKAI SIRAH SILAM

Sebagai contoh yang paling dekat dengan menyingkap kembali sirah nabi SAW.

Di dalam peristiwa perantauan baginda ke Ta’if membayangkan kepahitan dan sengsaranya perasaan jiwa ketika dihina dan diejek-ejek oleh kanak-kanak nakal. Tetapi sebagai ganjaran dari Allah buat penawar terhadap ejek-ejekan itu kedapatan seorang Nasrani(kristian) ‘Edas ketika datang mempersembahkan sepinggan buah anggur memeluk dan mengucup kepala dan tangan hingga ke kaki baginda sebaik saja Rasullullah menceritakan tentang kenabiannya kepada ‘Edas.

Seorang pengarang iaitu Mustafa Sadik Al-rafi’ei Rahimahullah telah melukiskan kisah Rasullullah ke ta’if dengan katanya,

“Betapa ajaibnya simbolik-simbolik Illahi di dalam cerita ini, seolah-olah kebaikan, kemuliaan dan penghormatan telah datang melutut meminta maaf terhadap kejahatan dan kenakalan yang telah berlaku dan kucupan mesra selepas kata-kata cemuhan yang kesat.”

Satu lagi sirah nabi yang menarik hatiku tika mana kemangkatan dan pemergian Siti Khadijah isteri baginda serta bapa saudara baginda Abu Talib merupakan saat yang paling pahit untuk ditempuh Rasullullah SAW.

Ibnu Hisyam telah menceritakan bahawa Siti Khadijahlah yang selalu menghiburkan dan menghilangkan kedukaan Rasullullah. Manakala Abu Talib pula adalah pembantu dan penolong baginda untuk menghalang pencerobohan kaumnya.

Apabila kedua orang tersayang baginda ini telah pergi maka semakin hebatlah penentangan daripada kaum Quraisy terhadap baginda. Sehinggakan orang biasa Quraisy pun berani melumur selut ke atas kepala Rasullullah. Apabila Rasullullah sampai di rumahnya dengan keadaan sebegini salah seorang dari puterinya bangun membasuh selut dari badannya sambil menangis mengasihani bapanya.

Cuba kita fikir sejenak, apalah hebatnya penderitaan yang ditanggung kita berbanding penderitaan kekasih Allah ini. Bersama kita renungkannya…

Begitu pahit dan maung sekali pancaroba yang dihadapi Rasullullah. Namun, episod sedih rasullullah ini telah disusuli pula dengan peristiwa isra’ dan Mi’raj di mana peristiwa ini adalah kurniaan Allah kepada Muhammad SAW demi meperkuatkan dan memperbaharui keazaman baginda. Sesungguhnya Allah ingin menghiburkan semula hati kekasih Nya ini. Subhanallah…

Merungkai pengajaran daripada dua kisah perjalanan hidup dan dakwah Rasullullah ini sebenarnya menyarankan ummatnya ataupun manusia sebagai hamba Allah untuk sentiasa bersabar menempuhi cabaran onak dan duri. Selain itu, sentiasa bersedia dan redha untuk menerima apa jua qada’ dan qadar Allah.

“Hai orang-orang yang beriman, bersabarlah kamu dan kuatkanlah kesabarnmu dan tetaplah bersiap sedia (di perbatasan negerimu)” [Ali-Imran, 3:200]

selain itu, sebagai hamba Allah, kebergantungan kepada Allah sangat perlu. Ia bakal menggambarkan keyakinan kita kepada Allah serta kerndahan hati meredhai dan menyerah diri kepada Allah.

Sepertimana rasullullah berkata kepada anaknya ketika Rasullullah dilumuri selut angkara Quraisy, “Tak usahlah menangis hai anakku, sesungguhnya Allah akan menolong bapamu”.

Rasullullah juga telah berdoa dan mengadu kepada Allah ketika penentangan hebat dakwah di Ta’if. Doa rasullullah sesungguhnya menunjukkan pengakuan kehambaan seorang manusia kepada Tuhan Rabbul A’lamin. Pengaduan Rasullullah membayangkan keglisahan ataupun perasaan takut seorang hamba terhadap murka Allah kerana mungkin sesuatu perintah yang telah terlanggar.

DOA RASULLULLAH KETIKA DI TA’IF

“Wahai Tuhanku Dikau sajalah tempat ku mengadu kelemahan tenaga ku dan kurang bicaraku, kehinaanku di mata ramai, wahai Tuhan yang maha pengasih Dikaulah Tuhan mereka-mereka yang lemah, Dikaulah Tuhanku kepada siapakah Dikau akn serah daku ini? Kepada mereka yang jauh yang bencikan daku atau kepada seteru yang Kau berikan kuasa ke atasku? Andaikata tidak ada sebarang kemurkaan Mu ke atas ku maka tidak akan ku pedulikan, tetapi kemaafan dan kurniaan Kau lebih luas untuk ku. Aku berselindung dengan cahaya zat Mu yang menyinari segala kegelapan dan yang memberi manfaat dunia dan akhirat (aku berselindung denganNya) dari kemarahanNya ke atas ku dan kemurkaan Mu, Dikau sahaja yang menegur sepuasnya. Dan tidak ada helah bicara dan tenaga hanyalah dengan Dikau sahaja”

Jika dirimu sedang berperang dengan kekecewaan janganlah kau putus asa. Jangan lah kau bersedih hati. Dan janganlah kau menjauhkan diri dari sang Pencipta. Tapi, dekatlah padaNya. Muhasabah dulu dirimu, tanya dulu imanmu nikmat Allah manakah yang telah engkau dustakan. Apakah mugkin kekecewaan mu itu adalah murka Allah kepada nikmat-nikmat yang telah kau dustakan? Adakah layak lagi dirimu untuk mempertikaikan qada’ qadar Illahi?

Tepuk dada tanya iman…Wallahua’lam…

No comments:

Post a Comment