Wednesday, August 18, 2010

Harga sebuah solat

“Perhatian kepada para penumpang pesawat Air Asia Ak5107 penerbangan ke LCCT Kuala Lumpur, penerbangan akan ditunda pada pukul 2.30 petang. Sekian, terima kasih. Harap maklum”

Saat itu hujan turun dengan sangat lebat diiringi dentuman guruh dan kilat sabung-menyabung. Pada mulanya flight ku bersama kak Sita ke Kuala Lumpur pada pukul 2.05 petang. Namun, disebabkan cuaca yang kurang baik, maka flight pun delayed.

Pada mulanya kami merancang untuk solat jamak ta’akhir berserta qasar sekali apabila sampai di LCCT Kuala Lumpur nanti disebabkan kekangan masa kerana terpaksa memenuhi syarat jadual penerbangan. Apabila pengumuman dibuat bahawa pesawat yang bakal kami naiki ditunda, aku mengubah fikiran.

“kak Eta, sekarang baru pukul 1.30. sempat lagi kalo nak jamak taqdim. Jom lah.”

“Alah, malaslah! Jamak ta’akhir je lah”

“kau ni, nanti kalo jadi papa kat dalam kapal terbang nanti? Dah la hujan lebat ni”

“ha’ah kan! Jomlah.”

Alhamdulillah. Kerna Allah mengizinkan kami menyelasaikan solat jamak dan qasar zuhur dan asar tadi. Fuh, nasib tak ketinggalan flight! Saat keluar dari surau, para penumpang yang sepenerbangan dengan kami sudah sibuk beratur untuk masuk ke dalam perut kapal terbang.

Ya Allah dengan nama MU, aku berserah. Mohon daku perlindungan dari segala bahaya. Amin!

Entah mengapa hati ku dihimpit rasa gelisah. Seperti sesuatu akan terjadi. Akhirnya, pesawat AK5107 memecut lantas membelah lapisan pertama langit meninggalkan bumi di bawah bayu itu.

Akhirnya, cuaca yang mengerikan tadi bertukar menjadi cerah dan tenang dihiasi awan yang berkepul-kepul persis kapas yang lembut, putih dan gebu. Namun, bak papatah ‘air yang tenang jangan sangka takde buaya’

Siapa sangka awan yang dipuji cantik dan lembut itu sebenarnya punya extra ordinary power. Huh! Molekul-molekul udara yang terkandung di dalam awan itu mampu menggegarkan tubuh sasa kapal terbang itu. SUBHANALLAH! Terasa kebesaran Tuhan.

Ya Allah! Benar KAU sedang menguji kami. Gegaran yang maha dasyat terjadi. Terasa tubuh kapal terbang semakin turun, turun dan turun! AstaghfirullahalAzim! Adakah ini saat terakhir hidup ku? Kalau disini saja hayatku, kalaulah pesawat ini terhempas, apakah rupa jenazahku nanti? Argh…..

Ketakutan yang teramat menyelubungi diri. Aku dan kak Sita saling berpandangan tidak terkata apa-apa. Mulutku kumat-kamit membaca doa. Anak-anak kecil sudah mula berlawan suara menjerit dan menangis. Tidak ketinggalan yang dewasa juga turut menjerit ketakutan. Tiba-tiba…

“Selamat petang kepada semua penumpang. Saya kepten bla..bla..bla…kita akan mendarat sebentar lagi…”

Alhamdulillah, selamat! Gegaran tadi disebabkan awan yang terlalu tebal.

Ya Allah. Ampunkan hamba Mu ini. Sungguh aku mengakui kebesaran dan kekuasaan Mu. Hakikat hidup dan mati itu adalah ketentuan Mu. Saat pesawat tadi terumbang-ambing seolah-olah hilang kawalan, ada sesuatu terdetik di mindaku.

Mungkin, memang benar Kau menentukan bahawa pesawat itu akan jatuh terhempas. Tapi mungkin Kau telah membeli solat kami tadi dengan harga yang cukup lumayan. Iaitu dengan mengekalkan nyawa kami beserta para penumpang yang lain.

Ya Allah betapa aku merasai dekatnya Kau di sisi hamba-hamba Mu. Walau diri ini hanya kerdil dan hina. Betapa Kau maha mendengar dan melihat. Sungguh Kau mengetahui apa yang terbaik untuk kami. Saat ini juga, terasa betapa bernilainya sebuah solat, serakaat takbir, ruku dan sujud.

Akhirnya, tercungkil satu hikmah Qada’ dan Qadar Allah iaitu harga sebuah solat…..

No comments:

Post a Comment