Wednesday, August 18, 2010

Rojulun min aqsol madinah-lelaki dari hujung kota

"Dan datanglah seorang lelaki dari hujung bandar itu dengan berlari (lalu menyampaikan berita) dengan berkata: "Wahai Musa, sesungguhnya pegawai-pegawai Firaun sedang mengadakan pakatan terhadapmu, mereka hendak membunuhmu; oleh itu pergilah." [Al-Qasas, 28:20]

Siapakah yang dimaksudkan dengan lelaki dari hujung kota ini? Lelaki dari hujung kota ini sudah tentu seorang yang istimewa di mata sejarah dunia Islam. Sehinggakan namanya ataupun cerita tentang dirinya disebut-sebut di dalam kitab suci Al-Quran. Malah rojulun min aqsol madinah ini tentunya seorang yang berperanan penting dalam perjalanan dakwah para anbiya’.

Berdasarkan kepada ayat Al-Qasas tadi menceritakan bahawa watak rojulun min aqsol madinah ini telah berlaku ketika zaman nabi Musa AS. Iaitu, ketika usia muda nabi Musa AS dan sebelum diangkat menjadi rasul, Musa telah membunuh seorang lelaki fira’un tanpa disengajakan.

“Dan dia (Musa) masuk ke kota (Memphis) ketika penduduknya sedang lengah, maka dia mendapati di dalam kota itu dua orang laki-laki sedang brkelahi; yang seorang dari golongannya (Bani Israel) dan yang seorang (lagi) dari pihak musuhnya (kaum Fir’aun). Orang yang dari golongannya meminta pertolongan kepadanya, untuk (mengalahkan) orang yang dari pihak musuhnya, lalu Musa meninjunya, dan matilah musuhnya itu…” [Al-Qasas, 28:15]

Sesungguhnya Musa menyesal akan perbuatannnya mengakibatkan kematian lelaki Fir’aun tersebut. Pukulan Musa tidaklah bermaksud untuk membunuh. Tetapi hanya semata-mata ingin membela kaumnya.

Selepas kejadian itu Musa telah menjadi buruan Fir’aun. Sungguh kala itu Musa berada dalam keadaan yang sangat ketakutan. Maka datanglah seorang lelaki dari hujung kota kepada Musa dan menyarankan agar Musa keluar dari kota itu untuk menyelamatkan diri. Akhirnya, Musa pun keluarlah dari kota itu dan selamatlah Musa dari buruan Fir’aun.

Sungguh menarik watak lelaki dari hujung kota ini. Mungkin dalam sirah anbiya’ ini dia hanya merupakan seorang yang berwatak sampingan. Namun, dia merupakan salah seorang yang telah menghidupkan realiti perjuangan para rasul di pentas dunia Illahi ini.

Selain dari surah Al-Qasas, Al-Quran juga menyebut kisah lelaki dari hujung kota ini di dalam surah Yasin:

[20] Dan (semasa Rasul-rasul itu diancam), datanglah seorang lelaki dari hujung bandar itu dengan berlari, lalu memberi nasihat dengan katanya:" Wahai kaumku! Turutlah Rasul-rasul itu -
[21] "Turutlah orang-orang yang tidak meminta kapada kamu sesuatu balasan, sedang mereka adalah orang-orang mandapat hidayah petunjuk".
[22] Dan (apabila ditanya: Sudahkah engkau menerima ugama mereka? Maka jawabnya): "Mengapa aku tidak menyembah Tuhan yang menciptakan daku, dan yang kepadaNyalah (aku dan) kamu semua akan dikembalikan?
[23] "Patutkah aku menyembah beberapa tuhan yang lain dari Allah? (Sudah tentu tidak patut, kerana) jika Allah yang Maha Pemurah hendak menimpakan daku dengan sesuatu bahaya, mereka tidak dapat memberikan sebarang syafaat kepadaku, dan mereka juga tidak dapat menyelamatkan daku.
[24] "Sesungguhnya aku (kalau melakukan syirik) tentulah aku pada ketika itu berada dalam kesesatan yang nyata. [25] "Sesungguhnya aku telah beriman kepada Tuhan kamu, maka dengarlah (nasihatku)",
[26] (Setelah ia mati) lalu dikatakan kepadanya: "Masuklah ke dalam Syurga". Ia berkata; "Alangkah baiknya kalau kaumku mengetahui – (Yasin, 36:20-26)

Menurut mufasir, lelaki dari hujung kota ini digelar sebagai Habib An-Najar. Selain itu, menurut satu riwayat lelaki ini telah dibunuh oleh kaumnya setelah dia mengucapkan kata-katanya sebagai nasihat kepada kaumnya.

Berdasarkan penceritaan daripada Al-Quran ini telah menunjukkan dua peranan besar rojulun min aqsol madinah ini. Iaitu, yang pertama menyelamatkan nabi-nabi yang terancam nyawa. Kedua, mereka juga ikut membantu dalam menyokong dakwah ketika nabi-nabi diserang hebat oleh kaum-kaum yang ingkar.

Mengenai Habib An-Najar ini sebenarnya saya telah terbaca tentang nya dalam Harakahdaily.Net. Dan saya berminat untuk menceritakan semula kisahnya dalam entry kali ini.

Jika dilihat dalam surah yasin di atas ayat yang ke-26, lelaki ini telah disapa untuk masuk ke dalam syurga. Betapa bertuahnya empunya diri menerima sapaan yang istimewa sebegini. Dalam hal ini ingin saya memetik semula kata penulis yang menulis artikel yang sebenar:

‘Adakah kita boleh memasuki syurga dan berkenalan dengan Habib an-Najar? Kalau kita tidak berusaha menyelamatkan nyawa pendakwah-pendakwah dan tidak berjuang sebagai 'rajulun min aqsol madinah' yang menyokong kebenaran dakwah, sukarlah kita dapat berjiran dengan Habib an-Najar dan lain-lain rajulun min aqsol madinah’.

Dalam artikel tersebut penulis juga mengaitkan beberapa orang watak di zaman nabi sebagai rojulun min aqsol madinah.

Pertama sekali, iaitu Abu Bakar As-siddiq yang mana pada asalnya dia seorang lelaki yang tidak tahu apa-apa tentang dakwah baginda tetapi akhirnya telah membenarkan dakwah rasullullah SAW ketika kaum Quraisy menentang baginda.

Selain itu, Pada akhir riwayat baginda Rasulullah s.a.w, ada seorang zahid bernama Uwais al-Qarni di hujung kampung. Dia juga tak pernah menziarahi Rasulullah s.a.w lantaran kemiskinannya. Ali k.w dan Umar r.a diperintah mengunjungi Uwais lantaran eratnya hubungan kerohanian antara Uwais dan Rasulullah itu.

Ketika perang, Uwais mendapat berita secara rohani bahawa sebatang gigi baginda tertanggal dalam medan perang. Maka, dia menanggal giginya semata-mata ingin merasai kesakitan yang baginda alami. Uwais bagaimanapun tidak berperanan di dalam dakwah sebagai Habib an-Najar dan lain-lain rajulun min aqsol madinah.

Tetapi, siapa tahu.. mungkin Uwais membantu umat Islam yang sedang berperang lewat doanya? Bukankah doa itu 'senjata' mukmin? Maka peranan Uwais, Abu Bakar dan lain-lain pemuda dari hujung kota ini janganlah dipandang remeh. Mereka ini mungkin si marhaen yang tiada apa-apa keistimewaan di mata manusia. Tapi, pada pandangan Allah siapalah yang tahu?

Kisah rajulun min aqsol madinah ini ataupun lelaki dari hujung kota ini bolehlah diambil iktibar bersama. Jika kita lihat dunia sekarang yang semakin hari semakin mengikis nilai aqidah, akhlak dan syariat Islam itu sendiri. Hakikatnya, pentas dunia sekarang tercari-cari watak seperti rajulun min aqsol madinah ini, mengharapkan lahirnya anak-anak muda yang berbakat seperti Habib An-Najar untuk membantu menjadi mata-mata rantai perjuangan para nabi dari dahulu sehinggalah kala ini. Siapakah yang bakal ataupun mahu menjadi lelaki dari hujung kota ini kelak ataupun sekarang? Adakah kita? Tepuk dada tanya iman. Wallahua’lam…

Rujukan dan petikan: Harakahdaily.Net

No comments:

Post a Comment